Sep 5, 2010

Parit Buntar pusat kain murah?

Betul ke tajuk entry ni? Untuk pengetahuan..tajuk entry ni adalah ayat2 yang keluar daripada mulut kawan2 saya..memang ramai yang claim cakap di Parit Buntar ni harga kain murah2..Tak tahu nak cakap betul ke tak..kalau nak tahu kena datang dan tengok sendiri. Gambar2 berikut ni sebahagian aje..sebenarnya banyak lagi kedai kain yang jual dengan harga borong..cuma saya je yang tak larat nak snap.
Kedai Qistina ni saya dah masuk..dalam kedai ni tudung dan baju adalah design terkini. Siap ada tukang jahit lagi di bahagian belakang kedai..mungkin untuk pelanggan yang nak tempah kot..err..saya masuk untuk survey je..

Kedai pemborong tudung bawal ni..memang dah lama bertahan..meskipun banyak persaingan daripada kedai2 kain yang lain.
Satu lagi kedai kain..yang pemiliknya orang Kampuchea..betul ke ejaan ni?


Dan gambar terakhir di atas ni adalah pasar Kemboja. atau pasar kampuchea. Memang terkenal kat Parit Buntar..Ramai peniaga2 di Parit Buntar yang turun ke pasar ni untuk beli kain yang datangnya terus dari kilang2. Pasar kemboja ni bukak 2 kali seminggu..Hari Isnin dan Jumaat sahaja. Kat sini penjual kain dan tudung jual style kodi2 punya..sebab kebanyakan yang datang ni beli kain kat sini kemudian di jual di tempat lain.
Bagus untuk saper2 yang berminat buat mulakan perniagaan kain tu bolehlah try..

Oh ye boleh baca keratan artikel kat bawah ni untuk confirm.


Pasar borong Melayu Kemboja

Pelbagai jenis kain, tudung, selendang dan sebagainya diniagakan di kampung ini. Jualan yang dijalankan sebahagian besarnya adalah secara borong, namun terdapat juga jualan secara runcit.

MUNGKIN ramai di kalangan kita tidak tahu bahawa terdapat sebuah perkampungan yang didiami imigran yang berasal dari Kemboja di Parit Buntar, Perak.

Terletak di Permatang Tok Mahat, Seberang Prai Selatan yang bersempadan dengan Parit Buntar, ia hanya kira-kira enam kilometer (km) dari bandar Nibong Tebal, Pulau Pinang dan tiga km dari pekan Bandar Baharu, Kedah.

Uniknya mengenai perkampungan ini ialah pasar borongnya yang menjadi tarikan penduduk setempat. Pada setiap hari Isnin dan Jumaat bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, pekan kecil di situ akan dibanjiri ribuan pengunjung yang kebanyakannya berketurunan Melayu Kemboja yang tinggal di kampung-kampung berdekatan dan penduduk tempatan.

Kedatangan mereka setiap dua kali seminggu hanyalah untuk berniaga dan berjual beli sesama penduduk seketurunan yang menetap di perkampungan itu.

Malah, ada yang datang dari Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Wang Kelian, Perlis serta kawasan berhampiran dengan membawa barang jualan masing-masing.

Pelbagai jenis kain, tudung, selendang dan sebagainya diniagakan di kampung ini. Jualan yang dijalankan itu sebahagian besarnya secara borong, namun terdapat juga jualan runcit.

Menurut seorang penduduk tempatan, Yusuf Abdullah, 72, asalnya perkampungan ini hanya didiami oleh beberapa keluarga imigran Kemboja yang menyewa rumah-rumah penduduk di sini kira-kira dua dekad lalu. Rata-rata mereka adalah pelarian Islam Kemboja yang melarikan diri ketika pemerintahan rejim Pol Pot.

Pada asalnya, mereka berniaga secara kecil-kecilan sesama sendiri. Bermula dengan hanya menjual kain pada harga murah, ia berjaya menarik minat pembeli daripada kalangan orang tempatan sekali gus menjadikan perniagaan ini berkembang dengan turut menjual barangan lain termasuk keperluan rumah.


KAMARIAH IBRAHIM menunjukkan aneka tudung yang dijual di gerainya.


Dari situlah munculnya nama Kampung Kemboja, merujuk kepada penempatan imigran itu di sini. Kini, hampir 200 keluarga mendiami kampung tersebut sehingga lahirnya komuniti Kemboja dan dianggarkan kira-kira 100 peniaga Kemboja datang menjalankan perniagaan di situ pada setiap minggu.

Malah ada pelanggan yang memborong jualan di sini sebelum menjajanya semula ke kampung-kampung berdekatan atau di pekan sehari di lokasi lain.

Seorang peniaga, Mohammad Hussin, 64, memberitahu, beliau sering datang ke sini kerana harganya murah, selain merapatkan hubungan sesama masyarakat warga Kemboja.

"Saya datang ke sini kira-kira 18 tahun lalu semasa konflik berlaku di negara saya.

"Saya beli barang jualan tidak banyak, modal kecil dan hanya berjualan dari kampung ke kampung. Nak buka kedai seperti rakan-rakan tidak mampu," katanya yang berniaga bersama isterinya, Rafeah Ali, 38.

Menurut Mohammad, adakalanya beliau berniaga di pasar malam sekitar Parit Buntar dan hasil niaganya cukup untuk menyara persekolahan tujuh anaknya.

Bagi Aminah Amin, 45, beliau membeli barang di perkampungan itu sejak 10 tahun lalu kerana harga yang ditawarkan berpatutan.

"Kalau nak dibandingkan dengan Kuala Lumpur (KL), lebih baik di sini. Tak perlu bayar tol, minyak dan sebagainya. Anak saya yang menetap di KL membeli kain yang sama dijual di sini pada harga tiga kali ganda lebih mahal," katanya yang berniaga di pasar-pasar malam dan pekan sehari.




Bagi penduduk tempatan, rata-rata mereka yang datang ke sini berpendapat harganya tidak terlalu mahal, selain banyak pilihan dan corak kainnya juga menarik.

Zaiton Karim, 47, yang pertama kali datang ke pasar tersebut, mengakui barangan di sini cantik, berkualiti dan harganya agak murah.

"Memang benar, harganya boleh tahan dan yang lebih penting banyak pilihan," katanya sambil membelek sepasang baju.

"Kalau nak dibandingkan dengan harga di kedai, di sini jauh lebih murah, lebih-lebih lagi jika dibeli secara borong. Kain-kainnya juga menarik," tambahnya sambil tersenyum.